Kuala Nerus, 14 April 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Sukan dan Rekreasi, Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Niat ‘Letter of Intent’ (LOI) antara UMT dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) bertempat di Auditorium Mahyuddin, UMT. Majlis yang berlangsung dari jam 8.45 pagi hingga 9.45 pagi ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua institusi ke arah pembangunan atlet berprestasi tinggi secara holistik, merangkumi aspek akademik, sahsiah dan kecemerlangan sukan. Majlis telah disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Datin Zuraini binti Abu Hassan, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan atlet melalui pendekatan bersepadu. Sukan dilihat sebagai medium penting dalam membentuk jati diri, disiplin dan kepemimpinan generasi muda seiring aspirasi Malaysia MADANI. Melalui kerjasama ini, beberapa inisiatif utama telah digariskan termasuk penyediaan laluan akademik kepada atlet SSMT untuk melanjutkan pengajian ke UMT melalui saluran khas (talent pathway), pelaksanaan program latihan bersama serta pembangunan atlet secara sistematik dan berstruktur. Selain itu, kedua-dua pihak turut merancang penganjuran program kecemerlangan sukan dan kejohanan bersama, perkongsian fasiliti sukan serta pertukaran kepakaran melibatkan jurulatih, tenaga pengajar dan pegawai bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan prestasi atlet. Majlis turut diserikan dengan sesi penyerahan Surat Niat (LOI) serta penyampaian Anugerah Ikon Sinergi Sukan kepada Saudara Afiq Danish bin Zapri, atlet Judo yang merupakan alumni SSMT dan ikon sukan UMT. Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh jaringan strategik antara UMT dan SSMT serta melahirkan atlet yang cemerlang bukan sahaja dalam arena sukan, malah seimbang dari segi akademik dan sahsiah. Diharapkan sinergi ini menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan negara khususnya di peringkat Pantai Timur dan seterusnya mengangkat UMT sebagai hab kecemerlangan sukan. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR), HEPA UMT di atas inisiatif yang sangat bermakna untuk para pelajar-pelajar yang terlibat. Tontonan: 3 Navigasi kiriman UMT Kukuh Semangat Kebersamaan Melalui Kejohanan Bowling Pegawai Kanan 2025 69 Peserta Kayak Merdeka UMT Dayung 22km Ke Pulau Bidong Sempena Kemerdekaan Ke-69