KAJANG, 2 Sept — Latar belakang keluarga berpendapatan rendah (B40) tidak menghalang Muhammad Syamil Irfan Mohd Alias, bakal mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), untuk mengejar cita-cita dalam bidang teknologi elektrik. Syamil bakal melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan UMT, selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di Politeknik Port Dickson. Beliau berkata UMT menjadi pilihan pertamanya untuk meneruskan pengajian kerana mahu mendalami bidang yang diminatinya serta memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi elektrik. “UMT adalah pilihan pertama saya. Saya mahu teruskan bidang yang saya minati dan bina masa depan yang lebih baik.” Syamil berkata keputusan meneruskan pengajian dalam bidang sama di peringkat ijazah merupakan kesinambungan daripada pengajian diploma yang telah dilaluinya. Menurutnya, pengajian dalam bidang tenaga dan kuasa dapat memberikan peluang kepadanya untuk mengembangkan kemahiran serta mempersiapkan diri bagi menghadapi alam pekerjaan pada masa hadapan. Beliau turut menganggap cabaran yang dilalui sebagai dorongan untuk terus berusaha mencapai cita-cita dan membina kehidupan yang lebih baik untuk diri serta keluarga. Selain akademik, beliau turut aktif dalam sukan bola tampar sejak di bangku sekolah, pengalaman yang menurutnya banyak membentuk semangat juang, disiplin dan kerjasama berpasukan. Semangat dan nilai yang dibina di gelanggang itu kini mahu dibawanya ke alam pengajian tinggi, termasuk hasrat untuk menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di UMT. “Saya juga berharap dapat menyertai PALAPES apabila memulakan pengajian di UMT kerana mahu mencabar diri, membina disiplin dan menimba pengalaman baharu.” Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum bukan sahaja dapat melengkapkan pengalaman sebagai mahasiswa, malah membantu membentuk keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan. Sementara itu, kunjungan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain menerusi Program Ziarah Bingkas Kasih HEPA UMT menjadi tanda keprihatinan dan sokongan universiti kepada Syamil serta keluarganya sebelum beliau melangkah ke alam pengajian tinggi. Dalam kunjungan tersebut, Profesor Dr Mohd Izani turut menyampaikan sumbangan bantuan awal yuran pengajian Bingkas Kasih berjumlah RM200 serta baucar makanan Dapo MAIDAM bernilai RM300, menjadikan keseluruhan bantuan yang diterima Syamil berjumlah RM500. Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meringankan keperluan awal Syamil sebelum memulakan pengajian, selain memberi sokongan moral kepada beliau dan keluarganya dalam menghadapi fasa baharu pendidikan. Program Ziarah Bingkas Kasih HEPA UMT turut menjadi platform bagi pihak universiti mendekati bakal mahasiswa dan keluarga secara lebih dekat, khususnya dalam memastikan aspek kebajikan serta kesejahteraan mereka mendapat perhatian sewajarnya. Bagi Syamil, peluang melanjutkan pengajian di UMT bukan sekadar langkah untuk mencapai cita-cita dalam bidang teknologi elektrik, malah ruang untuk mengembangkan potensi diri melalui penglibatan dalam aktiviti sukan, kokurikulum dan kepimpinan. Tontonan: 5 Navigasi kiriman Staf HEPA UMT Terima Pelbagai Anugerah Pemangkin Budaya Kerja Cemerlang Kembar Tiga, Satu Impian Melangkah ke UMT