Kuala Nerus, 13 Mac – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Sukan dan Rekreasi, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) telah menganjurkan Program Bual Bicara Ramadan 1.0 bertemakan “Kecergasan dan Ibadah: Menemukan Keseimbangan di Bulan Ramadan”. Program ini diadakan pada Khamis, dari jam 2.30 hingga 4.00 petang dan disiarkan secara langsung melalui Aplikasi Webex dan Facebook Live bagi memastikan capaian lebih luas kepada warga universiti dan masyarakat umum.

Program ini menampilkan dua panel berpengalaman dalam bidang kecergasan dan motivasi kerohanian, iaitu Profesor Madya Dr. Che Mohd Imran bin Che Taib, Felo Bersekutu PSR, serta Encik Mohamad Hafizuddin bin Ramli, Jurulatih Kecergasan PSR. Sesi bual bicara ini dikendalikan oleh Encik Mohd Fadzli bin Badaudin, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Kanan), yang bertindak sebagai moderator. Perbincangan utama memberi tumpuan kepada kepentingan mengekalkan keseimbangan antara kecergasan fizikal dan tuntutan ibadah sepanjang Ramadan.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga UMT dan mahasiswa, dengan jumlah tontonan yang tinggi sepanjang siaran langsung. Peserta menyatakan penghargaan terhadap perkongsian ilmu yang bermanfaat serta menzahirkan harapan agar program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang.

Antara isu yang dibincangkan ialah amalan kecergasan ringan seperti senaman regangan dan berjalan kaki, yang dapat membantu mengekalkan kesihatan tanpa menjejaskan tenaga sepanjang hari. Selain itu, aspek pemakanan seimbang turut ditekankan, khususnya dalam memastikan tubuh mendapat nutrien mencukupi untuk mengekalkan stamina semasa berpuasa. Sesi interaktif turut memberi peluang kepada peserta untuk bertanya dan mendapatkan panduan daripada panel yang berpengalaman.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *