Kuala Nerus, 10 April 2025 – Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) melalui Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM) terus komited membuka ruang dan peluang kepada tokoh kepemimpinan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk terus menyumbang bakti kepada mahasiswa. Terkini, Muhammad Hisyamuddin bin Sazali, bekas Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT sesi 2022/2023 secara rasminya menyertai pasukan HEPA sebagai kakitangan di Seksyen Pemerkasaan dan Advokasi, PPPM. Muhammad Hisyamuddin merupakan bekas pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih) dengan Kepujian, dan telah menjalani latihan industri di Alfatech Solution Sdn. Bhd., yang juga merupakan sebuah syarikat milik alumni UMT. Penglibatan beliau dalam dunia profesional serta hubungan erat dengan alumni menjadikan beliau aset penting dalam usaha memperkasakan ekosistem kepimpinan pelajar dan pembangunan mahasiswa di UMT. Sepanjang tempoh kepimpinannya sebagai YDP MPP, Hisyamuddin telah mencetuskan pelbagai inisiatif yang memberi kesan positif kepada pembangunan mahasiswa. Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah penubuhan KORUM, iaitu satu platform rundingan dan suara mahasiswa yang lebih tersusun dan progresif. Beliau juga terlibat secara langsung dalam pembangunan Garis Panduan Aktiviti Pelajar serta Peraturan Pilihan Raya Kampus. Selain itu, beliau turut memainkan peranan untuk menaiktaraf kemudahan mahasiswa dengan membawa masuk perkhidmatan Skuter Beam ke kampus UMT yang turut menyokong kelestarian hijau kampus UMT. Sesi lapor diri antara Muhammad Hisyamuddin bersama YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) turut membincangkan cadangan agenda pembangunan mahasiswa yang telah dirancang. Menurut YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani “Pelantikan ini adalah sebahagian daripada inisiatif HEPA untuk mengangkat pemimpin muda yang telah terbukti kepimpinannya, agar mereka kembali ke alma mater dan terus berbakti kepada komuniti kampus. Ia juga mencerminkan pendekatan strategik kita untuk memanfaatkan pengalaman pelajar dalam membentuk barisan pemimpin mahasiswa yang berwibawa dan berdaya tahan”. Sementara itu, menurut Hisyamuddin “Saya amat berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh HEPA. Inisiatif ini membuka ruang kepada bekas pemimpin pelajar untuk terus berkarya dan menyumbang kepada komuniti kampus. Saya percaya, pengalaman lepas saya sebagai pelajar dan pemimpin di UMT akan memberikan idea yang lebih segar untuk saya membawa pembaharuan di sini. Ianya merupakan satu bentuk pembelajaran tanpa henti – dari mahasiswa, untuk mahasiswa”. Pelantikan Muhammad Hisyamuddin sebagai Pegawai di Seksyen Pemerkasaan dan Advokasi membuktikan kepercayaan HEPA terhadap kebolehan dan pengalaman bekas pemimpin pelajar untuk terus menyumbang dalam membentuk mahasiswa UMT yang lebih berdaya saing, inklusif dan berpandangan jauh. HEPA percaya bahawa kesinambungan kepimpinan dalam kalangan alumni pelajar akan memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa yang berteraskan Aksara MAHASISWA IDAMAN – intelektual, darmabakti, aman dan alam, mandiri, alumni, nilai dan nuansa. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah di atas pelantikan tersebut. Tontonan: 2 Navigasi kiriman Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik (SMART) Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Awam Tahun 2025 Pasukan UMT Dinobat Juara Pertandingan Game Jam Laut 2025 Peringkat Antarabangsa