Kuala Nerus – Sempena bulan Ramadan yang penuh barakah, Pusat Alumni UMT telah menjemput seluruh alumni untuk menyertai program khas “Ramadan Di Hati @ Mutiara Kata Alumni 2026”. Program ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan menghimpunkan kata-kata hikmah, nasihat serta inspirasi daripada komuniti alumni bagi menghayati nilai semangat bulan Ramadan. Program ini membuka peluang kepada semua alumni UMT untuk berkongsi mutiara kata atau nasihat yang menyentuh hati berkaitan Ramadan sama ada berbentuk refleksi diri, pengalaman peribadi, pesanan moral atau kata-kata motivasi yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat. Menurut Pusat Alumni UMT, inisiatif ini diadakan sebagai platform bagi memperkukuh hubungan antara alumni dengan alma mater di samping menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat umum. Melalui perkongsian mutiara kata ini, alumni bukan sahaja dapat menyampaikan mesej positif malah berpeluang menyumbang kepada penyebaran nilai-nilai murni seperti kesyukuran, kesabaran, keikhlasan dan semangat berkongsi. Sebagai tanda penghargaan, semua hasil karya alumni yang terpilih akan menerima cenderamata khas daripada Pusat Alumni berupa Baucar Setel. Selain itu, mutiara kata yang terpilih akan disiarkan secara berperingkat bermula 19 Februari sehingga 20 Mac 2026 di semua platform media sosial rasmi Pusat Alumni UMT sekali gus memberi pengiktirafan kepada penyumbang serta memperluas capaian mesej positif kepada komuniti alumni UMT. Pusat Alumni UMT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua alumni yang mengambil bahagian serta menyokong penganjuran program ini. Sokongan dan komitmen anda amat dihargai dan kami berharap agar program seperti ini dapat menggalakkan lebih ramai alumni untuk terus berhubung dengan universiti serta memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti alumni. Selain itu, inisiatif ini juga dilihat mampu memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuh nilai kerohanian dalam kalangan alumni serta masyarakat sepanjang bulan Ramadan. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Alumni (PA), HEPA UMT di atas inisiatif yang sangat bermakna untuk alumni-alumni UMT. Tontonan: 5 Navigasi kiriman Program Ziarah KKR–HEPA Bersama Komuniti UMT Perhebat Peranan Alumni dengan Pelantikan Penaung Kehormat