Kuala Nerus, 16 April 2025 – Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) dengan kerjasama Majlis Sukan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya menganjurkan Bengkel Kemahiran Asas Pengurusan Sukan Pelajar selama empat hari bermula 13 hingga 16 April 2025 bertempat di Auditorium Sulaiman, Perpustakaan Sultanah Zahirah, UMT. Bengkel Kemahiran Asas Pengurusan Sukan Pelajar ini disertai oleh 100 orang pelajar UMT dan turut mendapat penyertaan daripada pelajar antarabangsa. Antara peserta yang hadir termasuk 13 pelajar dan 2 pensyarah dari Universitas Negeri Malang, Indonesia yang diketuai oleh Dr. Kurniati Rahayuni dan Dr. Lalu Moh Yuda, manakala dari Universitas Negeri Jakarta dihadiri oleh 4 orang pelajar. UMT turut menerima penyertaan seorang pelajar daripada Universiti Seoul, Korea Selatan dan Universiti Riyadh, Arab Saudi. Bengkel ini merupakan inisiatif penting ke arah melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, kepimpinan dan pengurusan sukan yang mantap. Sepanjang program berlangsung, peserta telah diberi pendedahan kepada pelbagai modul penting termasuk kepimpinan sukan, pengurusan fasiliti melalui sistem E-Arena, tatakelola acara sukan, aspek jaringan (networking), pemikiran kepimpinan sukan serta kesukarelawanan. Menurut penganjur, nilai tambah bengkel ini berbanding program lain adalah pelaksanaan praujian dan pascaujian bagi mengukur tahap pemahaman peserta terhadap modul yang disampaikan. Hasil maklum balas menunjukkan peningkatan signifikan dalam pengetahuan dan kemahiran peserta, dan data tersebut akan dijadikan rujukan bagi program-program akan datang. Penceramah-penceramah terdiri daripada pegawai PSR UMT yang berkepakaran serta mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepimpinan, kepegawaian dan kejurulatihan sukan. Majlis penutupan rasmi bengkel telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Dalam ucapan penutup bengkel yang disampaikan oleh Encik Amalul Asyraf bin Rosli, Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi, beliau menekankan bahawa pembudayaan sukan perlu bermula seawalnya di peringkat universiti. “PSR amat komited menyokong usaha pembudayaan sukan dalam kalangan pelajar dan komuniti universiti,” katanya. Bengkel ini diharap dapat menjadi asas kukuh kepada para pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam kesukarelawanan dan kepegawaian sukan, sekaligus menyokong penganjuran acara seperti Sukan Antara Fakulti serta penyertaan dalam penganjuran sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada usaha PSR dalam memperkukuhkan pembudayaan sukan di UMT dan menyumbang kepada agenda nasional ke arah pembangunan sukan yang inklusif dan berimpak tinggi. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada PSR di atas penganjuran program yang berimpak ini. Tontonan: 3 Navigasi kiriman Ramadan E-Sport Tournament 2025: Memperkasakan E-Sukan Di UMT UMT Kukuh Semangat Kebersamaan Melalui Kejohanan Bowling Pegawai Kanan 2025