Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi diberi kepercayaan sebagai tuan rumah bagi Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Kali Ke-32 Tahun 2026, selepas kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2010. Penganjuran kali ini dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Syarikat Noor Arfa Batik Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik.Sebanyak 26 pasukan pelajar daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan penyertaan seramai 104 orang mahasiswa telah mengambil bahagian. Penyertaan ini mencerminkan komitmen tinggi institusi pendidikan dalam memperkasa budaya intelektual dan kesedaran terhadap isu alam sekitar. Pertandingan ini bukan sahaja menguji keupayaan berhujah, malah menjadi wahana pengucapan awam yang berkesan dalam mengangkat suara keadilan hijau mahasiswa, sekali gus menzahirkan aspirasi generasi muda terhadap kelestarian bumi.Pertandingan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara terhadap isu dan dasar alam sekitar, melahirkan modal insan berwibawa serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi. Ia juga menjadi platform penting membina keyakinan diri, pemikiran kritis dan analitikal, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global. Debat sebagai medium pengucapan awam turut memperlihatkan keberanian mahasiswa menyuarakan pandangan secara matang, berfakta dan bertanggungjawab, sekali gus menghubungkan wacana akademik dengan realiti masyarakat.Pertandingan yang berlangsung pada 5 hingga 8 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Universiti Malaysia Terengganu (UMTCC) ini bertepatan dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun. Penganjuran ini amat signifikan kerana mahasiswa diberi peluang mengupas isu semasa seperti perubahan iklim, ekonomi biru, kualiti udara dan penilaian impak alam sekitar, yang semuanya berkait rapat dengan pembangunan negara. Type your paragraph here Pertandingan akhir pada 8 Jun 2026 di Dewan Sultan Mizan menyaksikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 sebagai Johan, manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul sebagai Naib Johan dengan hadiah RM7,000.Debat sebagai medium pengucapan awam terbukti mampu mengangkat suara keadilan hijau mahasiswa, selaras dengan keperluan pembangunan lestari negara dan aspirasi Malaysia Madani. Gelaran Pendebat Terbaik Akhir dianugerahkan kepada Muhammad Haries Husni bin Khalil Husaini dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang juga merangkul Pendebat Terbaik Liga.Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) pula terpaksa akur kandas di peringkat Separuh Akhir dan membawa pulang RM2,000. Secara keseluruhannya, pertandingan ini menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi mahasiswa yang progresif, berintegriti dan berani menyuarakan pandangan secara profesional. Tontonan: 8 Navigasi kiriman RTM | 29 Mei 2026 | Debat Alam Sekitar dan Advokasi Anak Muda AWANI PAGI | 21 Jun 2026 | Mencari Bakat Berdebat dan Mengangkat Isu Alam Sekitar