Setiu, Terengganu, 7 Februari 2026 – Sekumpulan mahasiswa sukarelawan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menyertai aktiviti penanaman pokok sempena Program World Wetlands Day 2026 yang berlangsung di Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands. Program pemuliharaan alam sekitar ini dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) sebagai usaha berterusan memelihara ekosistem paya dan biodiversiti semula jadi negeri Terengganu. Penglibatan mahasiswa sukarelawan UMT dalam program ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti serta pemerkasaan Ekonomi Biru yang menjadi teras strategik Universiti Malaysia Terengganu. Melalui aktiviti penanaman pokok, peserta diberi pendedahan secara langsung terhadap kepentingan pemuliharaan kawasan tanah bencak sebagai benteng ekologi semula jadi yang berperanan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem serta mitigasi perubahan iklim. Antara mahasiswa yang terlibat ialah Shine Alethea Deewasnari, pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu. Beliau menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa dalam program seperti ini memberi pengalaman pembelajaran berasaskan lapangan yang amat bermakna dan relevan dengan bidang pengajian yang diceburi. “Program ini memberi pendedahan secara langsung tentang kepentingan ekosistem tanah bencah dalam pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar. Penglibatan di lapangan membantu kami memahami aplikasi ilmu yang dipelajari di universiti serta memperkukuh kesedaran tentang peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam memelihara khazanah alam,” ujar beliau. Selain memberi pendedahan praktikal, program ini turut memperkukuh nilai kesukarelawanan, kepemimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa sebagai rakan strategik kepada agensi negeri dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Kerjasama antara UMT dan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu ini mencerminkan sinergi berterusan antara institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa negeri dalam menyokong agenda pembangunan mampan. Secara keseluruhannya, penglibatan mahasiswa sukarelawan UMT dalam Program World Wetlands Day 2026 ini bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan ekosistem Setiu Wetlands, malah mengukuhkan peranan mahasiswa sebagai penyumbang aktif kepada agenda kelestarian, Ekonomi Biru dan aspirasi Malaysia MADANI. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa, UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna ini. Tontonan: 5 Navigasi kiriman UMT Angkat Kesedaran Marin Melalui Program “Waste to Eco Vibe” di Pulau Pangkor Mahasiswa UMT Santuni Anak-Anak B40 Dan Warga Emas Di Lembah Klang