KUALA NERUS, 28 Okt- Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi sesi 2026/2027 mencatatkan peratusan keluar mengundi 78 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun, dengan 8,359 daripada 10,716 pelajar yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menentukan kepimpinan dan perwakilan mereka, selain memperlihatkan kematangan demokrasi kampus. Mengikut kategori pengajian, pelajar diploma mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi, iaitu 89.63 peratus (268 daripada 299 pelajar), diikuti prasiswazah sebanyak 83.71 peratus (8,099 daripada 9,675 pelajar). Kategori latihan industri merekodkan 60.64 peratus, melibatkan 852 daripada 1,405 pelajar, manakala pascasiswazah mencatatkan 24.97 peratus, dengan 260 daripada 1,041 pelajar keluar mengundi. PRK kali ini menyaksikan persaingan lebih terbuka apabila hanya satu kawasan dimenangi tanpa bertanding, berbanding empat kawasan pada sesi sebelumnya, dengan seramai 43 calon menyertai kempen dari 17 hingga 26 Okt. Menurut beliau, penganjuran Hari Memperkenalkan Calon, Forum Manifesto dan Speaker Corner oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) turut memberi peluang kepada mahasiswa mengenali calon serta menilai manifesto dan perancangan yang dikemukakan sebelum membuat pilihan. Pengundian kali ini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform UMT Memilih dalam dua fasa, iaitu pada 27 Okt bagi pelajar pascasiswazah dan pelajar yang menjalani latihan industri, manakala 28 Okt dikhususkan kepada pelajar prasiswazah. Mengulas tanggungjawab kepimpinan mahasiswa, Mohd Izani menegaskan bahawa mandat yang diterima barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memperjuangkan kebajikan, menyuarakan aspirasi dan membawa perubahan yang memberi manfaat kepada komuniti kampus. Beliau turut mengingatkan calon yang tidak berjaya supaya tidak berputus asa kerana pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) sentiasa terbuka menerima cadangan serta idea bernas bagi memperkukuh kebajikan dan pembangunan mahasiswa. “Kemenangan sebenar bukan sekadar pada undi yang diraih, tetapi pada kepercayaan yang berjaya ditanam dalam hati rakan-rakan mahasiswa sepanjang tempoh berkempen,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan PRK UMT sesi 2026/2027 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, di sini, malam tadi. Sebagai penghargaan terhadap penglibatan mahasiswa, sebanyak 10 program pengajian yang mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi turut menerima insentif RM300 setiap satu. PRK UMT sesi 2026/2027 yang membawa slogan “Suara Mahasiswa, Pilihan Mahasiswa” merupakan platform bagi memperkukuh demokrasi kampus serta melahirkan pemimpin mahasiswa yang berintegriti, berwibawa dan bertanggungjawab. Tontonan: 14 Navigasi kiriman Borak Demokrasi Warnai Malam Finale Kempen PRK UMT TEKNOLOGI PINTAR BAKAL UBAH INDUSTRI MARITIM, PERANAN PELAUT KEKAL PENTING