KUALA NERUS, 26 Oktober 2026 – Program Borak Demokrasi Gerakan Mahasiswa menjadi pentas kempen terakhir tiga gerakan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK) yang berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini. Program anjuran Kelab Advokasi dan Demokrasi (AKSI) UMT dengan kerjasama Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) UMT itu berlangsung di Serambi Siswa, Kolej Kediaman UMT, dengan menampilkan wakil daripada Gelora Mahasiswa (GEMA), Master Siswa (MASIS) dan Mahasiswa Progresif (MPro). Forum berkenaan menjadi ruang kepada wakil gerakan mahasiswa untuk membincangkan ideologi, hala tuju gerakan, manifesto calon serta kekuatan dan pendekatan masing-masing dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi. Perbincangan itu turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami matlamat dan perancangan setiap gerakan, selain menggalakkan budaya berbeza pandangan secara matang dalam suasana demokrasi kampus. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, yang mengikuti sesi berkenaan. Beliau berkata wakil calon daripada setiap gerakan mahasiswa memperlihatkan kematangan dalam berbicara serta kepetahan ketika menyampaikan pandangan sepanjang forum itu. Beliau turut berharap perkembangan politik kampus di UMT terus meriah dan berkembang subur, dengan mahasiswa memanfaatkan ruang demokrasi untuk menyampaikan pandangan serta mengetengahkan idea bagi kepentingan warga universiti. Menurut beliau, penglibatan mahasiswa dalam proses pilihan raya kampus juga merupakan ruang pembelajaran untuk memahami perbezaan pandangan dan membina budaya perbincangan yang sihat. Borak Demokrasi itu menjadi antara platform terakhir bagi gerakan mahasiswa menyampaikan mesej kempen masing-masing sebelum pengundian bermula. Pengundian pada 27 Oktober melibatkan pelajar pascasiswazah dan pelajar latihan industri prasiswazah, manakala pengundian bagi pelajar prasiswazah yang lain berlangsung pada 28 Oktober. Tontonan: 20 Navigasi kiriman UMT Terima Sumbangan RM315,000.00 daripada MAIDAM untuk Baucar Makanan Mahasiswa PRK UMT Catat 78.00% Keluar Mengundi, Tertinggi dalam Tempoh Tiga Tahun