KUALA NERUS- Kecemerlangan akademik yang disusuli penglibatan aktif dalam sukan dan kepimpinan pelajar membolehkan graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Julia El Myra Johan, 23, meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Istiadat Konvokesyen UMT ke-24 di Dewan Sultan Mizan, di sini. Julia, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Maritim, menerima anugerah bagi kategori bumiputera. Anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut memperoleh pingat bersadur emas, wang tunai RM7,500 dan sijil penghargaan. Selain cemerlang dalam pengajian, Julia aktif dalam sukan bola jaring sehingga berpeluang mewakili pasukan ke Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan dan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024. Beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kelab Operasi Maritim, selain menyertai program mobiliti selama seminggu di Universitas Airlangga, Indonesia, pada 2024. Pengalaman dalam bidang kepimpinan, sukan dan pendedahan antarabangsa itu melengkapkan perjalanan akademiknya sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Kini, Julia bekerja sebagai eksekutif bersekutu logistik di sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur, sambil melanjutkan pengajian sarjana penyelidikan maritim secara separuh masa di UMT. Beliau menyasarkan untuk menamatkan pengajian sarjana dalam tempoh dua tahun sebelum mempertimbangkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD), dengan impian menjadi pensyarah dalam bidang maritim. Mengulas kejayaannya, Julia berkata pencapaian itu bukan hasil usaha dirinya semata-mata, sebaliknya turut didorong doa dan pengorbanan ibu bapanya. “Kejayaan ini bukan datang daripada usaha sendiri semata-mata,” katanya, sambil menyifatkan anugerah berkenaan sebagai penghargaan terhadap sokongan keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan akademiknya. Beliau berharap pencapaian itu menjadi dorongan untuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran, sekali gus merealisasikan impian menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan industri maritim negara. Tontonan: 17 Navigasi kiriman Mantan YDP MPP UMT Genggam Ijazah, Buktikan Mahasiswa Idaman Mampu Memimpin, Berniaga dan Berbakti Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMT Terima Biasiswa Lanjut Pengajian Sarjana di Taiwan