KUALA NERUS, 20 Okt – Pengalaman memimpin mahasiswa, mengusahakan perniagaan, berkhidmat kepada komuniti kampus serta meneroka peluang pembangunan kerjaya menjadi antara pencapaian yang mewarnai perjalanan Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri, graduan Sarjana Muda Sains Matematik Gunaan, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menjelang Konvokesyen UMT Kali Ke-24.

Penerima Ikon Siswa UMT 2024 itu membuktikan bahawa kehidupan di universiti bukan sekadar wahana menimba ilmu, malah membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat kepimpinan, membina kemahiran keusahawanan dan memanfaatkan jaringan profesional bagi membina masa depan.

Sepanjang menggalas amanah sebagai YDP MPP, Aqasha berperanan menyuarakan aspirasi mahasiswa dengan memacu aspirasi 8 keutamaan prihatin siswa serta menjadi penghubung antara kepimpinan pelajar dengan pihak pengurusan universiti.

Tanggungjawab itu menuntut komitmen, kematangan dalam membuat keputusan dan kebijaksanaan menguruskan pelbagai pandangan bagi memastikan kepentingan mahasiswa terus diberi perhatian.

Pengalaman tersebut turut memberikan nilai tambah kepada pembangunan kerjayanya apabila peluang yang digarap sepanjang menerajui MPP membuka laluan untuk beliau berkhidmat di ibu pejabat RHB Bank Berhad dalam Group Treasury and Global Market di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau turut menerima tawaran menjalani latihan industri di RHB Bank Berhad menerusi program MPP bersama pihak institusi kewangan berkenaan, sekali gus memperlihatkan potensi penglibatan mahasiswa dalam program jaringan industri sebagai salah satu platform meneroka peluang kerjaya.

Pendedahan sedemikian memberi nilai kepada pengalaman mahasiswa di universiti, bukan sahaja melalui penglibatan dalam kepimpinan pelajar, malah menerusi peluang membina hubungan profesional, mengenali persekitaran industri dan mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan.

Pengalaman kepimpinannya turut melangkaui sempadan negara apabila beliau memimpin kumpulannya ke Jepun dan Indonesia bagi meneroka pendekatan serta amalan pembangunan mahasiswa di peringkat antarabangsa.

Pendedahan berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa memperluas perspektif, memahami pendekatan pembangunan pelajar di negara lain dan menimba inspirasi untuk memperkukuh peranan kepimpinan dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing.

Selain aktif dalam kepimpinan, Aqasha turut membuktikan kemampuan meneroka bidang keusahawanan apabila mengusahakan perniagaan barbershop di kolej kediaman sepanjang tempoh pengajiannya.

Lebih menarik, perniagaan itu turut membuka peluang pekerjaan kepada beberapa rakannya yang bersama-sama menguruskan operasi, sekali gus memberikan mereka pengalaman dalam bidang perniagaan dan peluang menjana pendapatan.

“Saya percaya mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga tamat pengajian untuk mula mencipta peluang. Penglibatan dalam program universiti, kepimpinan dan jaringan industri boleh dimanfaatkan untuk menimba pengalaman serta membuka laluan kepada perkembangan kerjaya,” katanya.

Pengalaman menguruskan perniagaan ketika masih belajar juga menjadi platform untuk mengasah kemahiran pengurusan, komunikasi, kerja berpasukan dan tanggungjawab, yang penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Dalam pada itu, Aqasha turut berkhidmat sebagai bilal di Masjid UMT, mencerminkan penglibatan beliau dalam menyokong aktiviti kerohanian dan kehidupan beragama dalam komuniti kampus.

Gabungan pengalaman dalam kepimpinan mahasiswa, keusahawanan dan khidmat kerohanian itu memperlihatkan kepentingan pembangunan insan secara menyeluruh yang merangkumi ilmu, kemahiran, nilai serta tanggungjawab sosial.