Kuala Nerus, 23 Julai 2025 – Kolej Kediaman Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited dalam mendepani agenda pembangunan modal insan mahasiswa melalui penganjuran program Mahasiswa Negara @UMT 2025, yang berlangsung meriah di sekitar kampus UMT pada 22 hingga 23 Julai 2025. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kerangka Malaysia MADANI, yang menekankan nilai keinsanan, kebersamaan, dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda. Seramai lebih 150 pelajar baharu dari program pengajian di UMT telah menyertai program ini, dibantu oleh 21 orang fasilitator yang terdiri daripada wakil Kolej Kediaman serta Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM). Program dua hari satu malam ini menampilkan pengisian padat dan bermakna merangkumi aspek kenegaraan, pembinaan sahsiah, pengukuhan jati diri dan kepimpinan mahasiswa. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk Bicara Malaysia MADANI, Sesi Interaktif Kenegaraan, Smart Tunnel Challenge, Cooking Survival, Sesi Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sesi Bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Slot War Cry dan Sesi Taaruf. Setiap slot ini dirangka bukan sekadar untuk memberi ilmu, tetapi untuk membentuk kemahiran insaniah, memperkukuh semangat kebersamaan dan memupuk keprihatinan terhadap peranan sebagai warganegara bertanggungjawab. Satu lagi slot istimewa dalam program ini ialah Sembang Santai Mahasiswa Negara bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, yang membuka ruang kepada peserta untuk menyuarakan pandangan dan refleksi tentang peranan mereka sebagai mahasiswa dalam konteks nasional. Beliau turut menekankan bahawa Mahasiswa Negara bukan hanya nama program, tetapi adalah manifestasi harapan universiti dan negara dalam melahirkan pelajar yang bersedia menjadi pemimpin masa hadapan yang berintegriti, cakna dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Yufrisyam bin Ibrahim, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Terengganu, bertempat di Dewan Al-Falah, UMT. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa mahasiswa bukan hanya pemilik ilmu, tetapi juga pemimpin masa hadapan yang harus menzahirkan nilai integriti dan komitmen dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. “Mahasiswa perlu sedar bahawa mereka adalah aset negara. Tanggungjawab bukan hanya pada akademik, tetapi juga pada pembinaan masyarakat melalui kepimpinan yang tulus dan berwibawa,” ujar beliau. Secara keseluruhan, Mahasiswa Negara @UMT 2025 telah berjaya mencapai objektif utamanya menyemai semangat nasionalisme, memupuk kepimpinan berteraskan nilai murni, serta memperkasa jati diri mahasiswa dalam persekitaran kampus yang dinamik dan menyokong. Program seperti ini wajar diteruskan dan diperluas agar universiti kekal sebagai medan terbaik dalam melahirkan pemimpin muda masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah tinggi nilai insaniahnya, selaras dengan visi Malaysia MADANI. Sidang Redaksi BINGKAS HEPA mengucapkan tahniah kepada Kolej Kediaman atas penganjuran program ini. Tontonan: 3 Navigasi kiriman iFUTURE@UMT 2025 Serlahkan Kepemimpinan Muda Bertaraf Global Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus: Hargai Yang Lama, Angkat Sumpah Yang Baharu