Marang, 23 Ogos – Seramai 90 warga Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyertai Program Pengukuhan Pasukan (Team Building) HEPA 2026 yang berlangsung di Kampus UMT Bukit Kor, di sini, hari ini. Program itu dianjurkan bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan, selain meningkatkan hubungan dan komunikasi dalam kalangan warga HEPA serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni dan saling menyokong. Pelbagai aktiviti santai, riadah dan kemahiran berkumpulan disusun sepanjang program berkenaan, antaranya sesi pemanasan badan, brisk walk ke Taman Herba, taklimat program dan sesi bergambar. Peserta turut terlibat dalam aktiviti merumput di Laman Kopi, membaja pokok kopi, aktiviti ‘membawang’ di Laman Bawang Pangan serta penanaman pokok kayu manis. Aktiviti berasaskan alam sekitar dan pertanian itu bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada peserta, malah menggalakkan kerjasama, komunikasi dan penglibatan aktif dalam kalangan warga HEPA. Program turut diserikan dengan permainan berkumpulan yang menguji semangat kerjasama, komunikasi dan kesepaduan pasukan. Majlis penyampaian hadiah kepada peserta yang menunjukkan komitmen dan semangat sepanjang program disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain. Secara keseluruhannya, program berkenaan berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh hubungan sesama warga HEPA serta membina semangat kebersamaan sebagai satu pasukan. Penyertaan 90 warga HEPA itu turut mencerminkan komitmen bersama dalam membentuk pasukan yang lebih mantap, positif dan berdaya saing. Tontonan: 3 Navigasi kiriman Kelestarian Sebagai Gaya Hidup