Kuala Nerus, 10 Januari 2025 – Seramai 230 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil bahagian dalam Program Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda Bagi Zon Timur (Terengganu) 2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan 2, UMTCC, UMT. Program ini anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Pertubuhan Nusa Bangsa (NUSA) dan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan keprihatinan dan komitmen golongan belia untuk menjadi warganegara muda yang aktif (active citizenship) dan holistik. Selain itu, program ini turut membekalkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melibatkan diri secara berkesan dalam proses demokrasi dan pembuatan keputusan. Program ini direka untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep demokrasi, pemahaman terhadap proses pilihan raya serta peranan belia kepada sistem demokrasi. Menurut salah seorang peserta yang terlibat, Saudara Adam Qayyum Bin Rasukhan, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, “Saya dapat mengetahui kepentingan berpolitik secara demokrasi membantu rakyat memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Saya berharap, program ini dapat diteruskan secara berkala dan dijadikan program tahunan di setiap universiti.” Menurut Saudari Nur Suriati Binti Ruslan dari Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, “Program ini memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada pelajar dan anak muda tentang peranan mereka dalam sistem demokrasi. Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap komuniti. Program seperti ini dapat membentuk generasi muda yang lebih peka sekaligus dapat meningkatkan proses penglibatan orang muda dalam politik negara.” Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa bersama Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia dan Pertubuhan Nusa Bangsa (NUSA) UPM atas penganjuran program ini. Program Rakan Demokrasi ini membuktikan bahawa usaha membentuk warganegara muda yang aktif memerlukan kerjasama semua pihak termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Ia diharapkan dapat melahirkan generasi belia yang lebih prihatin, berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Tontonan: 2 Navigasi kiriman Program Bengkel Pemantapan Pengurusan Organisasi (BPO) Memperkukuh Prinsip “Dipimpin Untuk Memimpin”